Tuesday, December 14, 2010

Bagai perangkap maut


JALAN Beraya yang menjadi laluan pintas penduduk bandar Miri dari jalan persisir pantai menuju ke simpang Bekenu mengalami tanah runtuh sekali gus berbahaya kepada pengguna terutama waktu malam.



Struktur tanah tidak stabil di Jalan Beraya ancam pemandu

MIRI: Curam dan merbahaya, sekali gus mampu mengundang kecelakaan. Itulah igauan ngeri yang bermain di fikiran pemandu kenderaan setiap kali mereka melalui Jalan Beraya di sini, terutama pada waktu malam berikutan hampir separuh daripada jalan berkenaan sudah runtuh.
Malah, tiada sebarang tanda diletakkan bagi memberi amaran kepada pemandu kenderaan supaya memperlahankan kenderaan masing-masing apabila menggunakan laluan itu.

Situasi itu, menyebabkan Jalan Beraya, iaitu jalan pintas yang kerap digunakan penduduk bandar Miri dari jalan persisir pantai menuju ke simpang Bekenu, merbahaya dilalui tanpa waspada.

Lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh sekarang, yang mana kemungkinan berlaku tanah runtuh di kawasan berkenaan agak tinggi, kerana tanah yang curam dan kelihatan tidak stabil.

Keadaan lebih merisaukan terutama jika ada kenderaan berat terutama lori sarat dengan muatan kelapa sawit melalui kawasan terbabit.

Tinjauan Berita Harian mendapati kesan hakisan tanah di situ menyebabkan hampir separuh daripada laluan kenderaan sudah runtuh. Malah, struktur tanah di kawasan itu kelihatan tidak stabil, dengan banyak rekahan yang dikhuatiri runtuh bila-bila masa.
Sudah beberapa kali berlaku hakisan dan runtuhan tanah di kawasan terbabit sebelum ini, terutama pada musim tengkujuh sepanjang Disember dan Januari.

Seorang penduduk di kawasan itu, Jabu Ritom, 35, berkata beberapa usaha sudah dilakukan untuk membaiki kerosakan jalan dan hakisan tanah di situ, namun masalah itu tetap berlaku seolah-olah tidak berkesudahan, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk.

Malah, katanya, terdapat banyak rekahan tanah di kawasan berkenaan dan ia amat merbahaya dilalui kenderaan berat seperti lori.

“Kita bimbang struktur tanah berkenaan di kawasan berkenaan runtuh jika ia dilalui kenderaan berat dan janganlah menunggu sesuatu yang buruk berlaku, barulah bertindak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu supaya agensi kerajaan berkaitan membina benteng di kawasan berkenaan yang mampu menahan tanah daripada runtuh.

Rudi Pa'in, 33, pula berkata kini banyak kenderaan menggunakan jalan pintas berkenaan sama ada ke bandar Miri atau ke pekan Bekenu.

Sehubungan itu, beliau merayu pihak yang berkenaan supaya bertindak segera bagi menangani masalah hakisan tanah di sepanjang jalan berkenaan.

No comments:

Post a Comment