Wednesday, December 15, 2010

SPRM masih siasat kes babit Tajuddin

Bekas Pengerusi MAS dikait isu kargo

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan bekas Pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata adalah tidak benar badan penyiasatan bebas itu tidak menjalankan siasatan terhadap Tajuddin seperti didakwa segelintir pihak.
“PPO ingin menjelaskan SPRM sedang menjalankan penyiasatan terhadap Tajuddin Ramli, bekas Pengerusi MAS berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah. Kita tahu kes ini ada bukti baru, ia mengenai kargo, tapi tak boleh ulas lanjut. Hanya boleh sebut siasatan masih diteruskan, ” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat kerugian MAS berjumlah RM8 bilion dari 1994 hingga 2001 kerana musykil MAS mungkin ditipu.

Mengulas lanjut, Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata pihaknya akan menyerahkan hasil siasatan kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk keputusan lanjut.

Sementara itu, Hadenan berkata Jabatan Peguam Negara memutuskan menutup fail siasatan terhadap Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

“Daripada siasatan, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pendakwaan terhadap Wee yang dikatakan tidak mengisytiharkan dirinya sebagai Pengarah dan mempunyai pegangan saham dalam sebuah syarikat. Beliau sudah melepaskan semua jawatannya sebagai pengarah syarikat berkenaan dan mengisytiharkan hartanya kepada Perdana Menteri,” katanya.
Siasatan terhadap Nik Abdul Aziz yang didakwa menyalahguna kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan melantik menantu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan suapan mengerjakan haji bernilai RM65,000 daripada pemilik syarikat pada 2009 juga ditutup.

“Jabatan Peguam Negara, selepas meneliti siasatan terperinci SPRM mendapati pelantikan Abdul Ariffahmi Abd Rahman daripada Ketua Pegawai Operasi kepada Ketua Pegawai Eksekutif PBMK adalah lebih kepada pertukaran nama jawatan.

“Peguam Negara memutuskan tiada sebarang pertuduhan dibuat terhadap Nik Abdul Aziz kerana beliau tidak pernah meminta pembiayaan kos mengerjakan haji dan perjalanan menunaikan haji juga tidak dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment